PETALING JAYA – Seorang pesakit disahkan mengalami masalah kesihatan mental berpunca daripada minum kopi kurus yang dibeli dari negara jiran.
Kisah tersebut dikongsikan seorang pegawai perubatan yang memuat naik video pada TikTok Boss P berhubung pesakit tersebut yang juga rakannya.
“Dia ada masalah mental selepas minum beberapa bulan. Dalam kopi itu mungkin ada dadah terlarang iaitu ‘sibutramine’ yang boleh merosakkan jantung, menyebabkan darah tinggi, strok, serangan jantung dan masalah jantung.
“Ia akan memberi kesan sampingan iaitu degupan jantung tidak teratur, kadar degupan jantung tidak teratur dan sudah tentu menyebabkan kegagalan jantung,” katanya pada video tersebut.
Boss P berkata, selepas mengambil minuman kopi kurus itu, rakannya dilihat berubah menjadi seorang yang tidak terurus.
“Kawan saya minum beberapa bulan dan selepas itu, dia macam lain.
“Saya nampak lain cara cakap, macam orang tak betul dan tak terurus,” katanya.
Berikutan itu, katanya, rakannya itu kini perlu mengambil ubat psikotik untuk rawatan masalah kesihatan mental. – KOSMO! ONLINE