fbpx

RM2.5 juta bangunkan Kampung Bahagia, Teluk Intan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming (tengah) ketika meninjau pembangunan fasiliti di Kampung Bahagia, Teluk Intan kelmarin.

TELUK INTAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memilih Kampung Bahagia, di sini sebagai Kampung Angkat MADANI kementerian ber­kenaan.

KPKT memperuntukkan seba­nyak RM2.5 juta bagi membangunkan kampung itu sebagai tarikan pelancong yang seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu me­rangkumi beberapa projek iaitu membaik pulih dan menaik taraf fasiliti jeti sedia ada supaya lebih selamat dan selesa supaya dapat memberi impak positif terhadap aspek sosio­ekonomi penduduk setempat.

“Kedua ialah pengindahan kawasan Geghotak Bahagia (Jambatan Anson) iaitu dengan menaik taraf dan membina viewing deck di mercu tanda Geghotak Bahagia sedia ada dengan hasrat untuk menjadikannya produk pelanco­ngan yang berpotensi bagi menarik kehadiran pelancong,” kata­nya pada Program Sentuhan Kasih KPKT, di sini kelmarin.

Jeti Lorong Masjid, Kampung Bahagia, Teluk Intan akan dinaik taraf bagi menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu turut melakukan tinjauan di ketiga-tiga kawasan itu untuk melihat perkembangan semasa selain memastikan siap pada tahun ini untuk kesejahteraan rakyat.

Menurut Kor Ming, gelanggang futsal sedia ada juga akan dinaik taraf untuk permainan futsal, sepak takraw dan bola tampar bagi memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan penduduk serta menyediakan kawasan riadah yang selesa.

“Warga Kampung Bahagia sangat bertuah kerana inilah Kampung Angkat MADANI yang pertama kali dipilih KPKT dengan lebih 11 projek akan dilaksanakan termasuk jeti, futsal, lampu LED dan paling istimewa ia akan disiapkan pada tahun ini.

“Kita harap kampung ini menjadi ikutan bagi kampung tradisi di negara. Saya berharap penglibatan komuniti tempatan sangat penting untuk memajukan kampung ini,” ujarnya.

Ujarnya, beliau berharap muafakat penduduk kampung itu dapat diserlahkan dengan aktiviti gotong-royong bersama-sama, menjaga kebersihan dan menanam pokok-pokok yang menyerlahkan lagi identiti Teluk Intan.

“Saya berharap, kampung ini akan menunjukkan sifat perpa­duan dan kerjasama yang utuh,” katanya.

Kampung Bahagia mempunyai 8,670 jumlah penduduk dan terbahagi kepada dua iaitu Kampung Bahagia Kiri dan Kampung Bahagia Kanan.

Jumlah kediaman di kedua-dua kampung ini ialah 1,500 buah rumah yang lengkap dengan kemudahan asas seperti masjid, surau, tadika, gelanggang futsal dan sekolah agama.

Luas keseluruhan kedua-dua kampung ini ialah 700 hektar yang majoriti penduduknya ialah Melayu.

Gelanggang futsal bakal dinaik taraf menjadi padang permainan futsal, sepak takraw dan bola tampar.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Bahagia Bahagia Kiri, Mat Radzi Idris, 64, berkata, beliau menyambut baik projek naik taraf jeti lorong masjid yang memberikan manfaat kepada pemancing udang galah dan nelayan.

“Jeti ini terkenal dengan udang galah yang segar dan sedap. Saya berharap apabila ia dinaik taraf ramai pelancong tempatan dan antarabangsa akan ke sini.

“Selain itu, nelayan juga boleh menambah pendapatan semasa dengan menawarkan perkhidmatan sewa bot untuk pemancing ikan dan udang galah,” katanya.

MAT RADZI

Tambah Mat Radzi, beliau berterima kasih dengan Ahli Parlimen Teluk Intan itu yang amat prihatin dengan menaik taraf kemudahan jeti itu.

“Sebenarnya Kampung Bahagia ini kaya dengan kawasan pelancongan yang unik dan menarik dan usaha YB Nga (Nga Kor Ming) memang saya puji serta amat berterima kasih.

“Lama sudah kami penduduk menunggu peluang sebegini lagi-lagi menjadi Kampung Angkat MADANI iaitu satu perkara yang tidak pernah diimpikan,” katanya.

Ketua Kampung Bahagia Kanan, Mohd. Khairul Hisyam Adnan, 50, pula berkata, beliau teruja dengan projek naik taraf gelanggang futsal menjadi kawasan permainan futsal, sepak takraw dan bola tampar.

“Projek ini amat baik kerana dapat menarik golongan muda dan mengelak daripada mereka terlibat gejala sosial.

“Malah, ini membantu menyihatkan badan mereka selain pada masa depan kami boleh menganjurkan sesuatu pertandingan yang melibatkan belia kampung,” ujarnya.

Tambahnya, pertandingan itu akan merapatkan hubungan sesama belia kampung selain akan diadakan gotong-royong tanpa mengira umur serta golongan demi membina perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI