KAHERAH – Sebuah mahkamah di Mesir akan bersidang untuk mempertimbangkan satu kes saman oleh lebih 50 peguam terhadap seorang penyanyi popular yang menampar peminatnya, lapor laman berita The New Arab kelmarin.
Pasukan peguam plaintif meminta pampasan sebanyak 1 bilion pound Mesir (RM98.90 juta) sebagai ganti rugi bagi kesusahan emosi dan penghinaan awam.
Pendengaran pertama kes penyanyi tersebut, Amr Diab akan dijadualkan pada 30 Julai ini.
Dia ketika menyanyi di sebuah majlis perkahwinan anak perempuan seorang penerbit filem, dituduh menampar muka seorang peminat lelaki.
Ketika kejadian, peminat tersebut menarik penyanyi lagu Nour El Ain itu secara tiba-tiba supaya dia dapat berswafoto dengannya.
Diab kemudian meninggalkan tempat kejadian, manakala pengawal peribadinya menolak peminat lelaki itu ke belakang.
Tidak lama selepas kejadian itu, kedua-dua lelaki berkenaan membuat laporan polis terhadap satu sama lain.
Dalam aduannya, Diab menuduh peminatnya itu menariknya secara paksa. Lelaki itu juga dituduh menghalakan telefon bimbit di hadapan mukanya.
“Secara undang-undang, jika Diab terbukti bersalah, dia berdepan hukuman penjara maksimum satu tahun dan/atau membayar pampasan tidak lebih daripada satu bilion pound,” kata seorang peguam, Mohamed Ibrahim. – AGENSI