JAKARTA – Sekumpulan pencuri nekad melarikan pagar besi di hadapan sebuah rumah di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan lapor berita Tribun News.
Insiden tersebut dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di Kompleks Perumahan Bumi Permata Sudiang.
Pencuri mula bertindak pada awal pagi ketika kawasan kompleks perumahan ketika itu sunyi dan penghuninya sedang nyenyak tidur.
Daripada rakaman CCTV yang tular di media sosial, tiga pencuri tersebut dilihat tiba menggunakan tiga motosikal.
Pada mulanya, mereka mengawasi suasana kompleks perumahan tersebut yang dilihat kosong sambil memerhatikan pagar besi rumah yang disasarkan.
Dua daripada pencuri kemudian menghampiri sebuah rumah dua tingkat sambil diawasi pencuri ketiga.
Kedua-dua mereka kemudian mengangkat pagar besi sepanjang 3 meter yang telah dipotong dua lalu melarikan diri menaiki motosikal beroda tiga.
Kejadian ini merupakan kali pertama pagar besi rumah berlaku di kawasan perumahan tersebut dan penghuni hanya menyedari kehilangan pagar rumah sekitar awal pagi.
“Penghuni sedang tidur lena dan tidak sedarkan diri ketika kejadian tersebut berlaku,” kata ketua kawasan perumahan tersebut, Bakri. – AGENSI