GEORGE TOWN – Seorang wanita warga emas maut akibat ditikam anak lelakinya yang juga pesakit mental dipercayai menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau di sini, hari ini.
Mangsa berusia 67 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai pada bahagian leher, kira-kira pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kejadian tersebut dimaklumkan sendiri oleh suspek kepada abang sulungnya sebelum menghubungi pihak polis.
Menurutnya, pihaknya menahan suspek berusia 40 tahun di kediaman berkenaan, petang tadi.
“Siasatan mendapati, mangsa tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung dan akan datang ke rumah peninggalan suaminya setiap tiga hari seminggu.
“Suspek yang merupakan anak bongsu pernah dimasukkan ke wad psikiatri tahun lalu dan pernah membuat ugutan bunuh terhadap semua ahli keluarganya,” katanya di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, katanya, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE