fbpx

Lautan manusia di Padang Arafah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEMAAH haji bergerak menuju ke Padang Arafah semasa kemuncak musim haji semalam. -- AFP

MEKAH – Lebih 1.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia memanjatkan doa di Jabal Rahmah semasa wukuf di Padang Arafah ketika suhu melambung tinggi pada hari kemuncak ibadah haji semalam.

Ramai jemaah haji mendaki bukit berbatu setinggi 70 meter itu yang terletak kira-kira 20 kilometer dari kota suci Mekah itu di mana Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhir baginda.

Panas musim panas kali ini, suhu padang pasir boleh mencecah sehingga 43 darjah Celcius. Suhu ekstrem ini perlu dihadapi oleh jemaah haji warga emas semasa mereka berdoa dan membaca kitab suci al-Quran.

Jemaah haji dari Ghana, Abraman Hawa, 26, berkata, ibadah haji mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari dan mereka perlu bersabar dalam mengerjakannya kerana cuaca sangat panas.

“Saya memanjatkan doa kepada Allah di Arafah kerana saya memerlukan bantuanNYA,” kata Abraman.

Terdahulu, pihak berkuasa Arab Saudi menggesa jemaah haji supaya minum banyak air dan melindungi diri masing-masing daripada panas terik cahaya matahari.

Disebabkan kaum lelaki dilarang memakai topi semasa berihram, ramai daripada mereka membawa payung untuk melindungi diri daripada panas terik.

Lebih 10,000 penyakit berkaitan haba direkodkan pada musim haji tahun lepas dengan 10 peratus daripadanya disebabkan oleh strok haba, kata seorang pegawai Arab Saudi kepada AFP minggu ini.

Ibadah haji di Mekah yang merupakan ‘perhimpunan’ agama terbesar dunia itu turut mengalami impak perubahan iklim global, demikian menurut kajian di negara tersebut yang menyatakan, suhu serantau meningkat sebanyak 0.4 darjah Celsius pada setiap dekad.

Bagaimanapun, jemaah haji berusia 60 tahun dari Pakistan, Mohammed Farouk berkata, panas terik matahari bukan penghalang buat dirinya.

“Ibadat haji ini sangat penting kepada saya sebagai seorang Muslim,” katanya.

Sekumpulan besar jemaah haji turut bermalam di dalam khemah-khemah yang disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi di Mina, sebuah lembah yang terletak beberapa kilometer di luar Mekah, kota paling suci bagi umat Islam.

Ramai antara mereka tinggal di dalam khemah yang dilengkapi penyaman udara.

Selepas berada di Padang Arafah, jemaah haji bergerak menuju ke Muzdalifah, di mana mereka akan mengumpul batu kerikil sebagai persediaan melontar tiga jamrah sebagai simbolik merejam syaitan di Mina hari ini.

Hari ini juga umat Islam di Arab Saudi menyambut Hari Raya Aidiladha seperti yang ditetapkan oleh kerajaan negara itu.

Ibadat haji pada tahun ini berlangsung ketika perang di Semenanjung Gaza antara Hamas dengan tentera Israel terus berlarutan sejak 7 Oktober tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI