MEKAH – Jemaah haji mula melontar jamrah di Mina pagi ini (waktu tempatan) ketika umat Islam di Kota Suci Mekah menyambut Aidiladha.
Bermula pada waktu subuh, 1.8 juta umat Islam yang menunaikan ibadat haji tahun ini akan melontar tujuh batu pada setiap tiga dinding konkrit di lembah Mina.
Ia melambangkan perbuatan merejam syaitan sebagai memperingati kisah Nabi Ibrahim, di mana syaitan cuba mempengaruhi Baginda agar melanggar perintah Allah S.W.T. untuk mengorbankan puteranya, Nabi Ismail.
Ibadah itu dilakukan selepas jemaah bermalam di Muzdalifah, yang terletak di antara Mina dan Arafah.
Jemaah haji akan menghabiskan tiga hari berikutnya di Mina, di mana mereka akan berjalan ke arah kompleks bertingkat yang menempatkan tiang besar.
Di sana, jemaah melontar tujuh batu kerikil setiap satu pada tiga tiang.
Semasa di Mina, mereka akan pergi ke Mekah untuk melakukan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram sebanyak tujuh kali.
Jemaah kemudian akan melakukan tawaf dikenali sebagai Tawaf Perpisahan pada hari terakhir ibadat haji dan ketika mereka bersiap untuk meninggalkan Kota Suci. – AFP