BANDAR GAZA – Tentera Israel hari ini mengumumkan penangguhan sementara serangan ke atas Rafah di selatan Gaza bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk, lapor akhbar Arab News.
Rejim Zionis berkata, penangguhan tersebut akan bermula pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) hingga pukul 7 malam (waktu tempatan).
Tambahnya, penangguhan serangan tersebut akan berkuatkuasa pada setiap hari sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.
Langkah itu bertujuan bagi membenarkan trak bantuan yang berada di persimpangan Karm Abu Salem yang dikawal Israel, untuk memasuki Gaza. Ia dilakukan melalui lebuh raya Salah Al-Din yang menghubungkan utara dan selatan bagi menghantar bekalan kepada penduduk Gaza.
Penangguhan serangan tersebut sedang diselaraskan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa.
Lintasan tersebut mengalami kesesakan sejak tentera Israel mula menceroboh Rafah pada awal Mei lalu.
Serangan tentera Rejim Zionis ke atas Gaza selama lapan bulan telah menjerumuskan wilayah Palestin itu ke dalam krisis kemanusiaan, di mana PBB melaporkan terdapat ratusan ribu orang berada di ambang kebuluran.
Selain itu, komuniti antarabangsa juga turut menggesa Israel bagi menyelesaikan masalah kebuluran tersebut. – AGENSI