KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meraih gelaran kedua bagi saingan musim ini selepas merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Quaycentre, Sydney sebentar tadi, pemain No.8 dunia itu mengenepikan cabaran pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Kodai Naraoka menerusi aksi tiga set 21-19, 11-21, 21-18.
Kemenangan itu pastinya menjadi tonik terbaik buat Zii Jia dalam persiapannya bagi mengahadapi temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
Sebagai rekod, ini adalah kemenangan ketiga Zii Jia ke atas Naraoka dalam enam pertemuan dengan bekas juara Asia itu turut menang pada pertemuan terakhir di kejohanan All England Mac lalu.
Selaku juara, Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,500 (RM148,617) berserta trofi dan pingat manakala Naraoka berpuas hati dengan AS$15,960 (RM75,299) dan pingat. – KOSMO! ONLINE