Selepas berjaya menjadi pempengaruh, gadis berketurunan Siam yang mempunyai minat mendalam dalam bidang modeling mahu mencabar diri dengan menjadi seorang pelakon pula.
Sekiranya diberi peluang, Wan Aishah Sofina Nazih, 23, gadis yang berasal dari Kelantan dan merupakan graduan Kolej Profesional Mara Bandar Melaka ingin berganding dengan pelakon Zul Ariffin.
Kepada wartawan Kosmo! Ahad, Wan Aishah atau lebih mesra dipanggil Fina yang fasih berbahasa Thailand serta pandai memasak masakan dari negara jiran itu berkongsi tentang latar belakang kehidupannya kepada pembaca.
KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan berkenaan diri anda?
FINA: Saya telah menamatkan pengajian di Kolej Profesional Mara Bandar Melaka, dua tahun lalu dengan kelulusan Diploma Industri Halal. Selepas tamat belajar, saya nekad untuk terus fokus dalam bidang pemodelan dan menjadi pempengaruh.
Apakah cita-cita Fina?
Saya ingin menjadi model yang dikenali dan dapat membantu peniaga-peniaga tudung, baju dan sebagainya dalam meningkatkan hasil jualan mereka.
Apakah pencapaian sepanjang menjadi pempengaruh?
Saya dipanggil bekerjasama dengan satu jenama besar negara iaitu Rizman Ruzaini. Ini adalah satu penghargaan yang sangat besar. Saya juga telah ditawarkan untuk mengiklankan jenama Impiana Houzz dan iklan tersebut dipaparkan papan iklan di bandar besar Kota Bharu.
Adakah anda pernah menjadi pelakon?
Saya pernah mendapat tawaran berlakon sebagai watak pembantu peribadi dalam drama Pewaris Cinta yang disiarkan Astro Ria. Saya sangat teruja kerana dapat membawa watak tersebut dengan jayanya.
Kenapa berminat mahu menjadi pelakon?
Semestinya kerana saya sangat minat dalam dunia seni. Saya suka mencabar diri dengan benda baharu dan keluar dari zon yang selesa.
Siapa pelakon pilihan jika diberi peluang mahu berganding?
Fina sangat berbesar hati jika dapat digandingkan dengan pelakon Zul Ariffin. Seperti kita tahu, Zul Ariffin mempunyai aura yang tersendiri dan diminati ramai.
Apakah watak yang Fina ingin pegang jika menjadi pelakon?
Saya tidak harapkan watak utama atau berat, cukuplah memegang watak sampingan.
Fakta menarik yang orang tidak tahu tentang Fina?
Sebenarnya saya boleh memasak makanan Thailand. Selain itu, membaca, menulis dan berkomunikasi dalam bahasa Thailand juga adalah kelebihan yang ada pada saya.
Sejak bila boleh berkomunikasi bahasa Thailand?
Sejak awal umur 8 tahun lagi. Fina telah dibesarkan menggunakan bahasa Thailand. Ibu Fina warga Thailand yang memang menetap di sana.
Apakah kekuatan Fina sepanjang bergelar pempengaruh?
Keluarga dan kawan punca kekuatan Fina sehingga hari ini. Sokongan mereka adalah sesuatu yang mahal.