HAMBURG – Belum pun wisel permainan ditiupkan, Belanda dari awal sudah melaungkan amaran buat Poland bahawa mereka akan memastikan kemenangan pada aksi pertama Kumpulan D Euro 2024 di Volksparkstadion malam ini.
Ketika Poland kehilangan ramai pemain termasuk ayam tambatannya, Robert Lewandowski, Belanda kini seakan sudah ‘memenangi’ perlawanan moral apabila dijangka tidak berdepan masalah meraih tiga mata pertama.
Pengendalinya, Ronald Koeman yang keras mengkritik Barcelona ekoran isu kecederaan pemain tonggaknya, Frenkie De Jong tetap percaya pasukannya mempunyai asas untuk dilabel sebagai pilihan pada perlawanan ini.
“Saya fikir kami agak tidak bernasib baik dengan masalah kecederaan sepanjang tahun lalu khususnya membabitkan pemain-pemainn utama pasukan. Namun, pada dasarnya kami sekarang masih lagi pasukan yang kuat,” katanya.
Dalam masa sama, Koeman juga mengaui bintang mudanya, Xavi Simons sudah pun mencapai tahap kualiti terbaik dan bersedia untuk memainkan peranan besar dalam pasukan.
Walaupun baharu mencecah 21 tahun, 10 gol dan 15 bantuan jaringan yang dihasilkan bersama RB Leipzig sepanjang musim 2023/24 membuktikan pemain itu sudah mampu untuk membantu pasukan dan kini hanya perlu diberikan minit permainan untuknya menyerlahkan potensi sebenar.
“Dia pemain berbakat besar dan perkembangannya juga cukup baik. Kadang-kadang kita terlalu menagih kemampuan pemain muda terlalu cepat sedangkan mereka juga perlu diberikan masa.
“Dia bermain dengan baik di kelab dan saya harap prestasi itu dapat diteruskan ketika menyarung jersi kebangsaan Belanda,” jelasnya. – AGENSI