MUNICH – Ketua Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann memuji aksi terbaik yang dipamerkan para pemainnya yang berjaya mendominasi permainan sehingga berjaya menundukkan Scotland 5-1 pada aksi pembukaan Euro 2024 di Allianz Arena awal pagi semalam.
Menurutnya, beliau enggan memuji aksi individu sebaliknya percaya kerjasama sepasukannya membawa kepada kejayaan tersebut apabila gol Jerman berjaya dihasilkan menerusi Florian Wirtz, Jamal Musiala, Kai Havertz, Niclas Fuellkrug dan Emre Can, manakala gol saguhati Scotland terhasil menerusi jaringan sendiri Antonio Rudiger.
“Walaupun ini perlawanan pertama, tetapi ia adalah langkah yang baik. Ia suatu yang baik apabila dapat menjaringkan banyak gol kerana mampu memberikan perasaan yang baik buat seluruh pasukan.
“Dalam 20 minit pertama, kami sangat bagus. Kami berjaya mendominasi perlawanan dan cukup agresif tanpa sebarang kesilapan,” katanya.
Pemain muda pasukan tersebut, Wirtz dan Musiala seakan memberikan mesej yang jelas bahawa mereka sedia untuk menggalas tanggungjawab memacu Jerman pada era baharu seperti yang telah dilakukan oleh Lukas Podolski dan Bastian Schweinsteiger pada 2006.
Musiala yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan mengakui kemenangan itu memberikan keyakinan yang memuncak buat pasukannya yang bakal turun menentang Hungary pada aksi kedua nanti.
“Meraih kemenangan selesa seperti ini adalah isyarat yang baik buat kami. Ia memberikan kami lebih keyakinan untuk aksi seterusnya. Saya sangat gembira, namun kami tidak akan membenarkan kejayaan ini membuatkan kami leka,” jelasnya.
Sementara itu, ketua pasukan, Ilkay Gundogan yang beraksi dalam Piala Dunia dan Euro sebelum ini ketika Jerman terpaksa pulang awal berpuas hati dengan aksi awal yang sempurna dipamerkan.
“Ia tidak seperti aksi kami dalam perlawanan awal pada kejohanan-kejohanan sebelum ini. Kemenangan ini menyuntik semangat untuk para pemain memberikan aksi lebih baik,” jelasnya.
Kemenangan menentang pada Khamis ini membolehkan Jerman menempah slot pusingan 16 terbaik lebih awal sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan perlawanan terakhir menentang Switzerland. – AGENSI