HAMBURG – Bumi Jerman sekali lagi menghadirkan tuah buat Belanda apabila mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Poland pada aksi sulung Kumpulan D Euro 2024, sebentar tadi.
Keputusan itu menafikan hasrat Poland untuk merekodkan kemenangan pertama ke atas Belanda sejak kali terakhir melakukan ketika menang 2-0 pada kempen kelayakan Euro 1980.
Ketika Belanda muncul pasukan yang memiliki penguasaan lebih baik, secara tiba-tiba Poland berjaya cipta sensasi apabila membuka jaringan pertama perlawanan menerusi Adam Buksa pada minit ke-16.
Bagaimanapun jaringan itu tidak beri kesan besar kepada tempo permainan The Oranje namun Poland langsung tidak memberikan ruang besar buat Belanda memperoleh gol penyamaan.
Memasuki minit ke-29, usaha berterusan Belanda akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan deras Cody Gakpo terkena pemain pertahanan Poland yang mengelirukan penjaga golnya, Wojciech Szczęsny.
Walaupun Belanda kekal mendominasi peratusan penguasaan, permainan di babak kedua makin rancak apabila kedua-dua pasukan berjaya mencipta gerakan menarik namun masih gagal menghasilkan tambahan jaringan.
Wout Weghorst yang masuk bagi menggantikan Memphis Depay pada minit ke-81 hanya memerlukan tempoh dua minit untuk menghadirkan impak apabila meledak gol kedua buat Belanda.
Untuk rekod, kali terakhir Belanda bergelar juara kejohanan ini adalah pada edisi 1988, juga dilangsungkan di Jerman – KOSMO! ONLINE