HULU TERENGGANU – Dua sahabat yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Jenagur maut selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 4, Jalan Kampung Gaung-Kuala Pueh- Empangan Jenagur berhampiran Kampung Pauh, di sini hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa, Mohd. Faris Mohd. Zulkifli,16, dan Muhamad Darwish Ezariff Mohd. Khairul Azuan,16, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, sewaktu kejadian, dua remaja berkenaan dikatakan dalam perjalanan untuk membeli barang di pekan Kuala Berang di Kampung Lerek, di sini.
“Motosikal jenis Yamaha NVX dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Zainul Mujahidin berkata, Mohd. Faris maut di lokasi kejadian, manakala Muhamad Darwish Ezariff meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Hulu Terengganu. – KOSMO! ONLINE