YAN – Dua beradik maut dalam kemalangan selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dari arah hadapan di Jalan Teroi Titi Lahar, di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 8.30 malam itu Muhammad Zulqarnain Mohd Delmi, 22, dan adiknya, Ahmad Firashi Ilyas, 11,yang menaiki motosikal jenis Honda RS-X meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, hasil siasatan awal kemalangan itu dipercayai berlaku ketika kereta Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berumur 61 tahun dari arah Gurun ke Yan cuba memotong di laluan berkenaan.
“Toyota Vios itu dikesan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal dinaiki dua beradik itu yang dalam perjalanan dari Yan ke Gurun menyebabkan kedua mangsa tercampak dan maut serta merta di lokasi kejadian.
“Manakala pemandu kereta terbabit yang tinggal di Perumahan Awam 2, Pantai Murni dan merupakan seorang pekerja sebuah kedai pajak gadai di Gurun hanya mengalami kecederaan sakit di bahagian dada sahaja,” katanya.
Kata Shahnaz, mayat dua beradik itu dihantar untuk bedah siasat di Hospital Yan sejurus kejadian manakala pemandu warga emas terbabit ditahan untuk dirakam keterangan. – KOSMO! ONLINE