PETALING JAYA – Lega pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merungkai kebenaran, pendakwah sensasi Ustaz Don Daniyal yakin tiada keperluan membahaskan lagi salah faham dakwaan menggunakan hadis lemah dalam program Salam Baitullah.
Ujar pemilik nama lengkap Don Daniyal Don Biyajid, 40, Jakim menganggap hal dibangkitkan pihak tertentu itu sebagai terlampau kecil iaitu lebih kepada perbezaan pendapat berkaitan perkara umum dalam perbincangan ilmiah.
“Ketika saya bertemu dengan pihak Jakim, mereka sendiri kata isu saya ini terlalu kecil dan hakikatnya perkara seumpama itu sebagai lumrah.
“Disebabkan itu, selepas saya berjumpa pihak berautoriti, saya dibenarkan untuk kembali bersiaran di rancangan tersebut tanpa perlu ada apa-apa huraian.
“Kebenaran sudah jelas sebaik saya diberi muncul semula dalam Salam Baitullah selepas seminggu direhatkan,” katanya pada sidang media di Smoked Kingdom by Don Daniyal, baru-baru ini.
Don juga berharap netizen dapat meneliti sesuatu maklumat yang diajukan secara rasional sebelum menerima secara bulat-bulat sesuatu perkara hanya bersandarkan dakwaan sebelah pihak.
Katanya, kenyataan menggunakan hadis tanpa sumber sedangkan dia memetik kitab tulisan agamawan terkemuka, selain dilabel sebagai individu yang memutar belit fakta merupakan dakwaan tidak benar.
“Harapan saya kepada semua netizen seperti mana kita nak makan, kita memilih, tak makan sebarangan tengok ada halal atau tidak, sedap atau tidak, elok atau tidak, sesuai untuk Instagram atau tidak tempat itu, begitulah juga ilmu
“Perhatikan siapa yang menyampaikan dengan tengok latar belakang individu terbabit dan perkataan yang mereka selalu gunakan kepada saya (adalah) suka ‘spin’ (putar belit) tapi saya tak ‘spin’ apa-apa.
“Yang buat benda itu adalah pihak mereka. Jadi, netizen perlulah bijak menghitung (pertimbangkan),” ujarnya yang hanya menganggap hanya salah faham, bukan sabotaj. – KOSMO! ONLINE