ALOR GAJAH – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dipercayai lebih tiga hari, di ruang solat sebuah surau di Pekan Kuala Sungai Baru, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mayat mangsa yang berusia 40-an itu ditemui oleh seorang pekerja pasar kira-kira pukul 11 pagi.
“Saksi yang datang solat di surau itu beritahu nampak mangsa tertiarap di sudut belakang tetapi mengandaikan dia sedang tidur lena.
“Mangsa hanya disedari telah meninggal dunia selepas seorang pekerja pasar terhidu bau kurang menyenangkan dan mendapati lelaki itu tidak bergerak sejak beberapa hari lalu,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, surau tersebut menyediakan ruang solat yang kecil dan sangat jarang digunakan penduduk setempat.
Mengulas lanjut beliau berkata, pengenalan diri si mati ditemui di dalam poket seluarnya dan mangsa dipercayai tinggal seorang diri serta belum berkahwin.
“Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan dan hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Alor Gajah malam ini mendapati, dia maut akibat serangan jantung.
“Waris mangsa telah membuat pengecaman mayat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE