HULU SELANGOR – Seorang bapa berusia 57 tahun yang dilaporkan hilang sejak 8 Jun lalu, ditemui maut di dalam semak di pinggir jalan Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu, di sini, semalam.
Mayat mangsa dijumpai orang awam bersebelahan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi sebelum hilang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mangsa di lokasi berkenaan kira-kira pukul 10.15 pagi.
Katanya, anak lelaki mangsa, 29, telah membuat laporan berhubung kehilangan bapanya di Balai Polis Klang pada 9 Jun lalu.
“Difahamkan, mangsa keluar rumahnya di Taman Sentosa, Klang kerana mahu membeli rokok.
“Hasil temuramah waris dan penduduk setempat mendapati, mangsa tidak dipastikan mahu ke mana kerana mangsa tidak mempunyai saudara atau rakan di sekitar tempat kejadian.
“Motosikal yang ditunggangi mangsa disyaki terbabas semasa melalui jalan besar Felda Soeharto, di sini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami cedera parah di dada.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan, diminta tampil ke balai polis berhampiran,” katanya. -KOSMO! ONLINE.