SEBERANG PERAI – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jamin yang beliau sendiri akan membantu sehabis baik isu kewarganegaraan yang dihadapi penduduk di Sungai Bakap, di sini.
Beliau memberitahu, isu berkenaan boleh diselesaikannya sekiranya calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin diangkat sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu nanti.
Menurutnya, Dr. Joohari akan membawa semua masalah rakyat terutama berkaitan urusan dokumen diri, sijil lahir, kad pengenalan diri atau myKad, myKid dan kewargenagaraan.
“Semua perkara yang dibawanya (Dr. Joohari) akan sampai. Saya akan bantu sehabis baik masalah yang dihadapi rakyat. Kerana itu, memilih wakil rakyat bererti menolong orang yang selesai masalah rakyat.
“Kalau tiada (kewarganegaraan), kita adakan sehingga masalah ini selesai. Itu cara bekerja. Kerana itu saya turun untuk sampaikan mesej ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Beramah Mesra di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini, hari ini.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut. – KOSMO! ONLINE