fbpx

31 syarikat diarah jawab Notis Bertulis alasan naik harga jualan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamalludin (tengah) melakukan pemeriksaan terhadap gerai di pekarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.

IPOH – Sebanyak 31 buah syarikat telah menerima Notis Bertulis (NB) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak sejak Ops Kesan 2.0 dilancarkan pada 8 Jun lalu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, antara sektor yang telah dibuat serahan notis adalah sektor pengangkutan melibatkan 23 syarikat, sektor bahan binaan (dua syarikat) serta sektor makanan dan minuman (enam syarikat).

“KPDN Perak hari ini (semalam) telah menyerahkan dua Notis Bertulis (NB) kepada dua syarikat yang terlibat dalam sektor pengangkutan dan sektor makanan dan minuman.

“Pemeriksaan dan advokasi berkenaan Ops Kesan 2.0 juga telah dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa di pasar tani di Stadium Indera Mulia Ipoh,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, sehingga semalam, sebanyak tiga aduan diterima KPDN Perak dan syarikat yang dikenal pasti itu telah diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan syarikat terbabit untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Kamalludin berkata, dua syarikat sektor makanan dan minuman masing-masing di Teluk Intan dan Ipoh, satu syarikat bagi sektor pengangkutan di Taiping juga telah diberi notis.

“KPDN Perak dengan kekuatan 164 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN dan 74 Pegawai Pemantau Harga akan terus melaksanakan pemantauan Ops Kesan 2.0 supaya tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barangan dan perkhidmatan ekoran penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan.

“KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” ujar beliau.

Tegasnya, mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Katanya, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan bagi perbadanan atau syarikat manakala sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI