TAPAH – Seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun cedera parah apabila kenderaan Proton Saga yang dipandunya bertembung dengan sebuah van dan treler di Jalan Bidor Teluk Intan-Kampung Jeram Mengkuang di sini pada pukul 5.10 petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, warga emas itu mengalami kecederaan parah dan tersepit ekoran pertembungan tiga kenderaan tersebut.
Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke hospital terdekat menggunakan ambulans.
“Pemandu van dan lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.10 petang,” katanya di sini hari ini.
Punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE