fbpx

Sikap ‘lewa’ punca utama pendidikan bumiputera tidak maju – Anuar Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anuar Ahmad

PETALING JAYA – Satu kajian yang dijalankan pasukan Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) mendapati, ‘sikap lewa’ menjadi faktor utama mengapa sebahagian besar bumiputera tidak maju dalam pendidikan.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, kajian yang dilakukan sepanjang dua bulan itu mendapati, masalah utama pendidikan dalam kalangan bumiputera Melayu adalah ‘sikap lewa’.

Jelas beliau, faktor lain seperti kemiskinan, tidak minat pada kurikulum Sains dan Matematik, kurang sokongan keluarga telah mengukuhkan lagi ‘sikap lewa’ sebahagian besar Bumiputera Melayu terhadap pentingnya pendidikan.

“Kajian ini telah menemubual secara mendalam dan bersemuka dengan 600 peserta dalam kalangan orang Melayu di empat zon Semenanjung Malaysia, (setiap satu sesi mengambil masa 5-6 jam), juga 8,000 responden yang menjawab soal selidik secara dalam talian, serta bersama 250 orang yang dikategorikan kepada 15 kumpulan pakar atau peneraju mengikut bidang (termasuk pemimpin industri bukan Melayu).

“Sangat jelas masalah utama pendidikan dalam kalangan bumiputera Melayu adalah ‘sikap lewa’,” jelas beliau dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Anuar, buatlah apa program sekalipun serta bantulah sehebat mana pun pendidikan bumiputera Melayu, jika sikap lewa bumiputera Melayu terhadap kepentingan pendidikan masih menebal, dibimbangi semua usaha itu akan gagal.

Katanya, memang ada anak bumiputera Melayu yang berjaya dan cemerlang dalam pendidikan disebabkan, dari awal mereka telah berusaha untuk mengubah sikap lewa dan terbukti akhirnya mereka berjaya.

“Dalam satu sesi ‘Focus Group Discussion’ atas talian kami bersama 24 orang Melayu yang telah berjaya dan sedang bekerja di luar negara, jawapan mereka yang paling jelas adalah “untuk mereka berjaya di bumi perantauan, perkara pertama yang telah mereka lakukan ialah mengubah sikap dan berusaha keras untuk berjaya”.

“Misalnya, ada anak Melayu dari Pasir Mas yang telah berjaya di Silicone Valley Amarika Syarikat (AS). Ada anak Melayu yang belajar dengan duit sendiri di AS dan akhirnya menjadi jurutera utama di kilang automotif terkenal di sana.

“Ada anak Melayu yang berjaya dalam bidang perubatan di Jepun dan Australia. Ada anak Melayu yang berjaya menjadi ketua jurutera di Dubai.

“Semua mereka bersetuju. Jika Melayu mahu maju, pertama sekali ubahlah ‘sikap lewa’ dan bersungguh-sungguh berusaha untuk mencari kejayaan dalam pendidikan. Jangan tunggu bantuan. Ada masanya usahalah sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI