PUTRAJAYA – “Tiada rasa kecewa, saya maafkan semua orang. Malu saya kepada Imam Syafie kerana Imam Syafie memaafkan semua orang yang menyebabkannya terpenjara, (dugaan) saya kecil sahaja.”
Demikian ujar pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid berkenaan kontroversi terbaru yang dihadapinya selepas ‘direhatkan’ terus daripada mengendalikan program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Salam Baitullah.
Menurutnya, sepanjang 14 tahun sebagai penceramah ini kali pertama dia membuat pencerahan bagi menjelaskan dakwaan menggunakan hadis lemah dalam program berkenaan.
“Bukan kali pertama saya berhadapan situasi seumpama ini tetapi inilah kali pertama saya membuat sidang media untuk menjawab spekulasi.
“Sebagai pendakwah situasi seperti ini adalah perkara biasa bahkan saya anggap ini seperti ini sebagai ujian.
“Saya pun tak mahu burukkan mana-mana pihak, saya akur ‘direhatkan’ dan cuma mahu menjelaskan hal sebenar kerana ada yang mendengar sebelah pihak sahaja,” luahnya pada sidang akhbar di Smoked Kingdom, di sini malam tadi.
Semalam, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman membuat pengumuman mengejutkan apabila program yang berbaki empat episod itu tidak lagi menampilkan pendakwah terbabit.
Ini susulan dakwaan mengatakan Ustaz Don berkongsi hadis tanpa sanad atau sumber apabila menyatakan memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah, malam kelmarin.
Sebelum ini, pengacara berusia 40 tahun itu direhatkan selama seminggu daripada program sama selepas mengupas kisah kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang dikatakan tanpa sokongan dalil sah.
Salam Baitullah merupakan program terbitan RTM yang bersiaran setiap kali musim haji dan edisi kali ini bermula pada 2 hingga 17 Jun 2024.
Tahun ini, 17 episod rancangan Salam Baitullah disiarkan secara langsung di TV1, Saluran Berita – 123 MyTV dan RTMKlik selama satu jam 30 minit mulai pukul 9 hingga 10.30 malam. – KOSMO! ONLINE