fbpx

Sindiket guna ‘rider’ angkut PATI tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara individu ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh pihak JIM di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. Foto Ihsan JIM

PUTRAJAYA – Helah penyeludupan migran dengan merekrut penunggang motosikal atau dikenali rider untuk mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI) akhirnya tumpas.

Ia susulan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan dua lelaki warga tempatan dan 33 orang PATI yang cuba dibawa masuk ke Malaysia melalui laluan haram menggunakan khidmat berkenaan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, penahanan itu dibuat menerusi operasi khas yang dijalankan pada 10 Jun lalu pada pukul 5.20 pagi di Kubang Kerian dan Lembah Sireh Kota Bharu, Kelantan.

Jelasnya, berdasarkan maklumat awam dan risikan, seramai 19 anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) bersama Unit Risik Sempadan JIM Negeri Kelantan digerakkan bagi mengesan sekumpulan PATI dipercayai baru memasuki negara melalui pangkalan haram di sempadan.

“Lanjutan itu, pasukan operasi bertindak menyerbu sebuah rumah transit dan berjaya menahan seramai empat lelaki warganegara Bangladesh.

“Turut ditahan seorang wanita warganegara Thailand dan dua lelaki warganegara India yang dijumpai berada dalam kereta transporter dan cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Ruslin, susulan dari tangkapan ini, pasukan berjaya memperoleh maklumat mengenai pergerakan transporter bermotosikal dipercayai cuba memindahkan PATI ke Terminal Bas Ekspres Lembah Sireh.

Katanya, pasukan bergegas ke lokasi sasaran dan berjaya menahan dua lelaki tempatan, masing-masing sedang membonceng seorang lelaki warganegara Myanmar.

“Cubaan seorang penunggang motosikal untuk melarikan diri berjaya dihalang oleh anggota operasi dan kedua-dua motosikal disita untuk tindakan jabatan.

“Pasukan operasi turut memeriksa kawasan sekitar terminal dan berjaya menahan seramai 24 orang PATI terdiri daripada 17 lelaki dan tujuh perempuan warga asing dipercayai sedang menunggu bas untuk dibawa ke destinasi ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, taktik ini dipercayai untuk mempercepatkan pergerakan PATI ke destinasi di luar Kelantan serta mengelak dikesan pihak berkuasa.

Tambah Ruslin, kumpulan sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada PATI untuk semua urusan berkaitan kemasukan mereka ke negara ini.

“Kesemua 33 PATI ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas sah untuk berada di negara ini.

“Manakala dua orang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan semua kenderaan disita untuk siasatan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI