fbpx

Projek RM4 bilion sokong pembangunan KIGIP – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) melakukan gimik peluncuran Pelan Induk KIGIP di Dewan Dato' Zainal Abidin Zin, Bagan Serai hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

BAGAN SERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengumumkan pelaksanaan projek bernilai RM4 bilion bagi menyokong pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) yang diluncurkan di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin di sini hari ini.

Beliau berkata, projek tersebut adalah bagi menyalurkan air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah dan seterusnya menyediakan bekalan air terawat bagi Perak Utara.

Menurut beliau, bekalan air terawat itu turut akan disalurkan ke Pulau Pinang melibatkan komponen pemindahan air (water transfer) dan rawatan air (water treatment), yang mana projek itu dianggarkan bernilai RM4 bilion.

“Turut akan dilaksanakan ialah pembinaan Persimpangan Lebuh Raya Utara Selatan di kawasan berhampiran projek KIGIP bagi memberi kemudahan akses (ke kawasan berkenaan),” katanya ketika berucap di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP yang merupakan adalah susulan perancangan Kerajaan Madani untuk membangunkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian yang telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024.

KIGIP merupakan satu projek taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama.

Peluncurannya hari ini merupakan acara simbolik bagi proses penyediaan Pelan Induk KIGIP yang sedang disiapkan menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak, SD Guthrie Berhad dan Permodalan Nasional Berhad.

Sebagai sebuah taman industri yang berteraskan teknologi tinggi, KIGIP akan dilengkapi ciri-ciri utama seperti lokasi yang strategik menerusi akses yang mudah ke Lebuh Raya Utara Selatan, serta keterhubungan dengan hab logistik utama seperti lapangan terbang, pelabuhan dan stesen kereta api.

Selain itu, KIGIP juga meliputi Zon Perindustrian Utama berkeluasan kira-kira 404.6 hektar, dengan premis dan infrastruktur bagi kegunaan industri dan komersial, termasuk kawasan perumahan dan persekitaran hijau serta ladang solar seluas 267 hektar yang berupaya membekalkan sumber tenaga hijau.

Turut terdapat di KIGIP ialah hab inovasi dan bakat tempatan yang berupaya menjana peluang pekerjaan berdasarkan lokasi yang berdekatan dengan enam universiti, lapan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan 11 Pusat Latihan Giat MARA.

Mengulas lanjut tentang KIGIP, Anwar berkata, taman perindustrian yang menggunakan sumber tenaga hijau tersebut merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk menarik kemasukan pelabur ke negara ini.

“KIGIP menjadi salah satu tunggak pembangunan dan pelaburan negara. Semua yang ingin melabur menekankan tenaga hijau. Di Jepun kita jumpa dengan syarikat-syarikat besar dan itu ditekankan. Di German juga itu juga ditekankan.

“Oleh kerana keupayaan Malaysia mengadakan dan menyegerakannya maka kita dapat menarik mereka (pelabur) datang dengan cepat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI