ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan apabila berjaya mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 4-0 dalam Pusingan 16 Piala FA, malam ini.
Beraksi di laman sendiri, skuad Harimau Selatan dilihat bergelut bagi menjinakkan pasukan kendalian Park Jae Hong dan hanya memperoleh gol pembukaan pada masa tambahan separuh masa pertama.
Gawang yang dikawal ketat oleh Muhaimin Mohamad pada sepanjang separuh masa pertama akhirnya bolos juga menerusi tandukan lambung Bergson Da Silva yang disambut oleh Fernando Forestieri yang melakukan sentuhan terakhir di garisan gol.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah menggandakan asakan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-51 namun tandukan dilakukan Forestieri yang mendapat umpanan Oscar berjaya ditepis Muhaimin.
JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Mohamad Kamil Zakaria Ismail selepas melakukan semakan video bantuan pengadil (VAR) dan mendapati ada kekasaran dilakukan Umeir Aznan terhadap Forestieri pada minit ke-58.
Muhaimin bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti diambil Muniz namun percubaan kedua pemain gantian, Romel Morales yang berada di posisi yang tepat gagal diselamatkan menyaksikan gawang skuad Kijang Emas bolos kali kedua.
Tindakan Bidoglio membawa masuk Francisco Geraldes turut membuahkan hasil setelah pemain import itu menerima lorongan bola daripada Muniz sebelum melepasi kawalan dua pemain pertahanan lawan lalu merembat tepat ke penjuru kiri gawang pada minit ke-81.
VAR sekali lagi memihak kepada JDT apabila pengadil perlawanan mendapati berlakunya kekasaran yang dilakukan Nasrol Amri Kamarul Azhar terhadap Arif Aiman pada minit akhir permainan dan pemain itu mudah menyempurnakan sepakan itu memberikan kemenangan bergaya 4-0 memihak JDT.
JDT dijangka melangkah ke suku akhir untuk bertemu wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University FT yang dijadual berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 28 Jun ini. – KOSMO! ONLINE