KUALA LUMPUR – Semua penyiar tempatan diminta berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bagi meneliti pendakwah jemputan yang bakal diundang bagi program agama di saluran masing-masing.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebarang isu yang membabitkan agama, sepatutnya mempunyai penyelarasan dan garis panduan yang lebih baik supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan.
“Kami akan berhubung dengan pihak Jakim dan Yadim, saya lihat mereka perlu bantu untuk meneliti asatizah yang dijemput dan walaupun kita beri ruang kepada semua, tetapi bila melibatkan aspek agama saya rasa perlu ada sedikit penyelarasan dengan Jakim dan Yadim.
“Saya akan meminta semua penyiar untuk adakan perbincangan dengan Jakim dan Yadim untuk penyelarasan tersebut,” katanya ketika ditanya berkenaan garis panduan yang perlu ada bagi memantau pendakwah bebas yang dijemput dalam sebarang program agama.
Fahmi berkata demikian selepas merasmikan Mydin Mart Pantai Dalam dan menyampaikan sumbangan Aidiladha kepada penduduk di Parlimen Lembah Pantai hari ini.
Dalam pada itu, mengenai tindakan merehatkan pendakwah bebas Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, dalam sebuah program agama terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM), Fahmi berkata, pihaknya menyerahkan kepada Jakim untuk meneliti perkara tersebut.
“Pihak Jakim telah beri teguran sebelum ini dan kita serah kepada mereka kerana pandangan sebelum ini telah diterima dan diberi nasihat, tetapi akibat tindakan baru-baru ini wajar diberikan sedikit masa (direhatkan) sebelum kita jemput beliau semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE.