SINGAPURA – Penjaga gol pasukan bola sepak Singapura menggesa peminat dari negara China supaya berhenti memberikan wang kepadanya, lapor portal berita MustShareNews semalam.
Hassan Sunny, 40, juga berkata, dia merancang untuk mendermakan semua wang yang diterimanya.
Dalam satu kenyataan di platform Instagram, Hassan mengucapkan terima kasih atas sokongan peminat dari negara China sejak beberapa hari lalu.
Peminat pasukan kebangsaan China memberikan penghargaan dan hadiah wang kepada Hassan kerana berjaya mengekang Thailand daripada membolosi gawangnya lebih daripada tiga kali pada perlawanan kelayakan Piala Dunia, Selasa lalu.
Dalam perlawanan itu, Singapura kalah kepada Thailand 3-1 sekali gus membolehkan China layak ke pusingan yang seterusnya.
Selepas perlawanan itu, kedai milik Hassan iaitu Dapur Hassan Muslim Food di Tampines juga dihujani ulasan yang baik oleh peminat China. – AGENSI