JAKARTA – Seorang pelajar perempuan mengalami lebam dan luka selepas dibuli oleh sekumpulan pelajar perempuan dari sekolah lain dalam kejadian di Kota Bekasi, lapor akhbar Tribunnews.
Mangsa yang berumur 14 tahun ditampar, ditendang dan dipukul pada Jumaat minggu lalu.
Lebih mengejutkan, pembuli terbabit menyiarkan kekerasan yang dilakukan secara langsung di platform Instagram.
Menurut media tempatan, bapa mangsa menyaksikan perbuatan itu menerusi klip video berkenaan. Katanya, kekerasan yang dilakukan terhadap anak perempuannya tidak boleh diterima sama sekali.
“Perlakuan mereka (pembuli) keterlaluan dan melampaui batas,” katanya kepada wartawan, Rabu lepas.
Susulan itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Metro Kota Bekasi.
Kumpulan pembuli itu adalah seramai empat orang, dua daripada mereka bertindak menyiarkan insiden itu secara langsung.
Sementara itu, Ketua Unit Jenayah Kota Bekasi, Muhammad Firdaus mengatakan bahawa siasatan sedang dijalankan.
“Kami sudah menyiasat ayah mangsa, mangsa dan kakak mangsa. Seterusnya, kami akan menyoal siasat semua suspek yang terlibat,” katanya. – AGENSI