KOTA BHARU – Pasar Besar Siti Khadijah di sini yang merupakan ikon pelancongan Kelantan diserbu orang ramai termasuk perantau hari ini untuk membeli barangan keperluan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada Isnin depan.
Tinjauan Kosmo! mendapati, pelanggan mula memenuhi pasar itu kira-kira pukul 7 pagi tadi untuk membeli beberapa barangan keperluan termasuk santan, rempah-ratus, ayam dan sayur-sayuran.
Seorang peniaga ayam proses, Aminah Awang, 56, berkata, pelanggan yang datang ke Pasar Besar Siti Khadijah kali ini dilihat membeli barangan keperluan dengan kuantiti yang sedikit berbanding semasa sambutan Hari Raya Aidifitri baru-baru ini.
Katanya, dia mendapati tidak ramai pelanggan yang membeli ayam proses sempena Hari Raya Aidiladha.
“Tetapi, ayam yang dijual di sini tetap laku, cuma kuasa membeli dilihat sedikit berkurang daripada pembeli.
“Mungkin orang ramai sudah banyak mengeluarkan belanja untuk ibadah korban,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pasar Besar Siti Khadijah di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE