LONDON – Pasukan Tech3 dilihat mempunyai pasukan terbaik musim depan apabila kekal bersaing di bawah ‘payung’ Red Bull KTM dengan khidmat dua pelumba baharu berpengalaman iaitu Enea Bastianini dan Maverick Vinales.
Pemilik pasukan Tech3, Herve Poncharal sebelum ini membuat keputusan berani mati apabila berpisah dengan Yamaha pada 2018 selepas hampir dua dekad menjalani kerjasama.
Bagaimanapun, peralihan ke pasukan KTM tidak berjalan dengan baik apabila mereka hanya meraih satu kemenangan menerusi Miguel Oliveira pada 2020, namun kehadiran Pedro Acosta yang tampil cemerlang membuat pasukan itu kembali ceria.
“Musim 2024 berjalan dengan baik dan terima kasih kepada Pedro (Acosta) kerana kami dapat menunjukkan kekuatan kami dan bersama-sama mempercepatkan keseluruhan projek RC16.
“Apa yang telah berlaku sekarang adalah keadaan yang lebih baik. Langkah yang lebih besar ke hadapan pastinya agak menyedihkan bahawa Pedro tidak lagi berada di garaj kami.
“Kami sentiasa mempunyai pelumba yang sangat baik dan saya masih menghormati mereka semua, tetapi gabungan dua pelumba terbaik semasa dan pemenang MotoGP bersama kami tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Ia adalah gabungan terbaik pelumba yang Tech3 ada setakat ini. Saya yakin bahawa kedua-dua Enea (Bastianini) dan Maverick (Vinales) akan berjuang untuk kemenangan bersama jentera KTM RC16.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Stefan Pierer (Ketua Pegawai Eksekutif KTM) atas sokongan besar pihaknya kepada kami,” katanya. – AGENSI