GUA MUSANG – Mayat kanak-kanak perempuan Orang Asli suku kaum Temuan ditemui tersangkut pada dahan kayu di dasar Sungai Brooke, di sini hari ini selepas kira-kira 20 jam hilang dihanyutkan arus sungai.
Mangsa, Syamely Nur Aleh Qarni Sham, 7, dijumpai oleh penduduk kampung Orang Asli pada pukul 12.05 tengah hari kira-kira 1.8 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna dan telah dibawa naik ke darat dengan bantuan anggota penyelamat.
“Mangsa dijumpai tersangkut pada dahan kayu di dasar sungai dan berada dalam keadaan sempurna oleh penduduk kampung yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, kegembiraan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang mandi-manda bersama keluarganya di Sungai Brooke dekat Kampung Setawar, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini semalam berakhir tragedi apabila dia dikhuatiri lemas di sungai itu.
Mangsa, Syamely Nur Aleh dipercayai dihanyutkan arus sungai kira-kira pukul 3.30 petang. – KOSMO! ONLINE