JEMPOL – Seorang penunggang motosikal maut selepas 35 jam bertarung nyawa di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah akibat kecederaan parah dialami dalam kemalangan di Jalan Felda Palong 3, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan kira-kira pukul 8.30 malam itu membabitkan dua buah motosikal.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa motorsikal yang ditunggang oleh seorang lelaki Melayu berusia 74 tahun tanpa memakai topi kaledar dalam perjalanan dari rumahnya hendak ke kedai di Palong 3.
“Semasa keluar dari simpang rumahnya, datang sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki India berusia 55 tahun dari arah jalan utama telah melanggar tepat disisi kanan bahagian tengah motorsikal itu.
“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang Melayu tersebut telah mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke HTAN bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan pukul 9 pagi tadi,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, polis meminta agar saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Imran Sharwandy Suwandi Yazid ditalian 012-6434489 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE