SANTIAGO, Chile – Hujan lebat yang melanda Chile sejak beberapa hari lalu menyebabkan sebuah lubang benam gergasi terbentuk di bawah hartanah mewah di bandar peranginan Vina del Mar, memaksa beratus-ratus penduduk berpindah.
Bangunan 13 tingkat menempatkan 200 apartmen setiap satu berharga AS$500,000 (RM2.35 juta) itu kini berada di atas lubang sepanjang 15 meter dan sedalam 30 meter. Ia adalah lubang benam terbaru yang terbentuk di kawasan itu dalam masa kurang setahun.
Antara segelintir penghuni yang belum berpindah dari bangunan apartmen Euromarina II itu ialah Sergio Silva.
Silva,77, berkata, dia cuba meletakkan sebahagian barangan miliknya untuk dibawa ke tempat lebih selamat kerana lebih banyak hujan dijangka turun.
“Kami hanya mengambil barang-barang penting sahaja,” katanya kepada AFP.
Penduduk beberapa buah bangunan lain di bawah Euromarina II juga telah mengosongkan kediaman mereka kerana bimbang ia akan runtuh.
“Sebilangan penduduk berpindah sebagai langkah berjaga-jaga. Kami yang masih di sini bersiap-sedia sekiranya berlaku kecemasan atau kami terpaksa berpindah,” kata penghuni bangunan apartmen Eurovista, Claudio Camus, 43.
Bangunan itu berdiri di bawah Euromarina II.
Hartanah mewah tersebut terletak di kawasan seluas 28 hektar yang mana sebelum 1984, merupakan sebahagian daripada taman perlindungan haiwan milik negara. – AFP