fbpx

Lebih 2.5 juta kenderaan guna lebuh raya sempena Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lembaga Lebuh Raya (LLM) menjangkakan jumlah purata peningkatan trafik harian di lebuh raya utama mampu mencecah sehingga 2.52 juta kenderaan sempena Hari Raya Aidiladha, Isnin ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Sazali Harun berkata, pertambahan jumlah kenderaan ini dijangka akan berlaku secara berperingkat bermula 14 Jun (Jumaat) sehingga 18 Jun (Selasa).

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, purata trafik di semua lebuh raya di bawah Kumpulan Plus Malaysia Berhad (Plus) dijangka akan mencapai sehingga 2.2 juta kenderaan.

“Jumlah kenderaan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pula dijangka mencecah sehingga 181,000 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) (80,000 kenderaan) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) (60,000 kenderaan).

“LLM telah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula pada 12 Jun (Rabu) hingga 19 Jun (Rabu).

“Pihak LLM dan syarikat konsesi juga akan mengaktifkan 20 lokasi laluan ‘smart lane’ di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuh Raya Plus bermula 14 Jun (Jumaat) sehingga 18 Jun (Selasa) dan laluan ‘tidal flow’ di Lebuh Raya KLK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sazali, LLM turut memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik yang tinggi.

“Pihak kami menetapkan syarikat konsesi untuk menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan untuk menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.

“Kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya KLK, LPT1 dan LPT2 turut disediakan.

“Disamping itu, bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan
memastikan kecukupan bekalan air serta bekalan minyak di stesen-stesen minyak juga ditingkatkan demi keselesaan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, LLM menasihati orang ramai agar merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA oleh Plus bagi perjalanan di Lebuh Raya Utara Selatan dan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) disediakan Anih Berhad bagi Lebuh Raya KLK dan LPT1.

Pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden melalui media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi seperti di Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @llmtrafik serta tiktok @llmtrafik.

Selain itu orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian hotline 1-800-88-7752.

Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna boleh melayari laman sesawang LLM di http://www.llm.gov.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI