fbpx

Lebih 1.5 juta jemaah haji bergerak ke Arafah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 27 Jun 2023 menunjukkan jemaah haji berada di bukit Jabal Rahmah,Padang Arafah. -- AFP

MEKAH – Jemaah haji yang lengkap memakai ihram memulakan perjalanan ke Padang Arafah semalam untuk melakukan wukuf ketika lebih 1.5 juta orang dari seluruh dunia berhimpun di kota suci Mekah.

Ibadah haji kali ini berlangsung ketika lebih sejuta orang Islam di Semenanjung Gaza terus menderita akibat serangan kejam tentera Israel yang berlarutan selama lapan bulan.

Jemaah haji Indonesia yang mempunyai populasi penduduk Islam terbesar di dunia, Belinda Elham berkata, dia berdoa pada setiap hari semasa berada di Mekah supaya perang Gaza berakhir dan nasib rakyat Palestin terbela.

Menurut kerajaan Arab Saudi, wukuf di Padang Arafah yang merupakan kemuncak ibadah haji, bermula pada hari ini.

Pada hari tersebut di Padang Arafah, Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhir baginda.

Semasa di Arafah, jemaah haji berkumpul di atas bukit setinggi 70 meter dikenali sebagai Jabal Rahmah dan ramai lagi dataran sekitarnya.

Mereka melakukan pelbagai ibadat termasuk mengerjakan solat sunat dan membaca kitab suci al-Quran.

Jemaah haji akan berada di Arafah sehingga masuk waktu Maghrib.

Selepas selesai wukuf, mereka akan bertolak ke Muzdalifah untuk bermabit sebelum melon­tar jamrah di Mina.

Selepas selesai melontar, jemaah haji akan kembali semula ke Mekah.

Agensi berita AFP melaporkan kelmarin bahawa jemaah berdepan cabaran cuaca panas ketika menunaikan haji pada tahun ini. Menurut jabatan meteorologi tempatan, purata suhu ter­tinggi yang dijangkakan adalah sekitar 44 darjah Celsius.

Sementara itu, seorang jemaah haji dari Amerika Syarikat, Shariq Memon berkata, cuaca panas bukanlah penghalang buat dirinya kerana dia bersiap sedia untuk menghadapi suhu ekstrem itu.

“Kami semua telah diberitahu bahawa cuaca di sini akan menjadi sangat panas.

“Panas, tetapi dengan bantuan Allah, kami tidak merasai ­kepanasan ini,” kata lelaki berusia 44 tahun itu ketika meninggalkan Masjidil Haram.

Di Mekah dan kawasan sekitarnya, sukarelawan-sukare­lawan turut mengedarkan air minuman dan payung di samping memberikan nasihat kepada jemaah haji supaya banyak minum air bagi mengelakkan strok haba.

Terdapat hampir 700 pekerja lapangan bersama 320 ambulans, 13 kenderaan lain untuk tindakbalas lanjutan, tujuh ambulans udara (helikopter) dan dua pesawat pemindahan perubatan sebagai persiapan bagi membantu jemaah haji sekiranya keadaan memerlukan.

Selain itu, sebanyak 15 motosikal, 150 bugi golf, 150 skuter dan 27 basikal elektrik berserta 10 bas ambulans dan kenderaan perkhidmatan lain disediakan oleh kerajaan Arab Saudi pada musim haji kali ini.

Turut disediakan ialah lebih 595 sukarelawan yang terdiri da­ripada individu yang mahir dalam bidang perubatan dan pertolongan cemas.

Di Muzdalifah, jemaah haji akan mengutip anak batu untuk melontar jamrah di Mina sebagai simbolik tindakan merejam syaitan oleh Nabi Ibrahim.

Tiga jamrah itu adalah lokasi di mana syaitan cuba menghalang baginda daripada mematuhi ­perintah Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.

Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan Hari Raya Aidiladha di negara berkenaan disambut esok iaitu semasa jemaah haji melontar di jamrah ­Kubro. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI