GUA MUSANG – Jalan masuk ke Kelantan melalui Gua Musang di sini semakin sesak dengan kenderaan perantau yang ingin pulang ke kampung halaman menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Isnin ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, jumlah kenderaan memasuki negeri ini melalui pintu masuk Gua Musang semakin bertambah setiap satu jam sejak petang semalam.
Kenderaan melalui laluan di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai juga semakin meningkat dan kesesakan dijangka berlaku sehingga malam raya.
Seorang perantau, Mohamad Hassan Ibrahim, 40, berkata, dia bersama isteri dan tiga orang anak bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 5 pagi tadi untuk pulang ke Kota Bharu.
Katanya, mereka sampai kira-kira pukul 12 tengah hari di bandar Gua Musang selepas berehat tiga kali di Hentian Rehat dan Rawat menuju ke Gua Musang.
“Terdapat beberapa lokasi yang sesak termasuk di Plaza Tol Gombak dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak. Saya sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung di Kota Bharu dan berharap selamat sampai ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, aliran trafik di pintu masuk ke negeri Kelantan hari ini didapati terkawal meskipun mengalami pertambahan bilangan kenderaan sejak petang semalam.
Katanya, polis telah mengambil langkah dengan menjalankan penarikan trafik pada kira-kira pukul 10.30 pagi tadi di Kampung Mentara bagi melancarkan keadaan lalu lintas.
“Kita menggunakan konsep yang sama iaitu penarikan trafik dengan menahan laluan dari arah bertentangan dan membuka dua lorong bagi laluan dari Merapoh, Pahang ke Gua Musang,” katanya. – KOSMO! ONLINE