KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan (KKM) merancang pembinaan klinik kesihatan baharu bagi memenuhi keperluan lebih 200,000 penduduk di Bandar Puncak Alam di sini, yang tiada kemudahan itu sejak sekian lama.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pembinaan klinik kategori dua itu dicadangkan pihaknya di sekitar kawasan Desa Coalfields.
Jelas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, isu berkenaan sememangnya menjadi agenda utama dan ditekankan beliau bagi kemudahan rakyat.
“Isu penting itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan saya berharap ia akan diisytiharkan pada Belanjawan 2025 akan datang.
“Tapak klinik itu juga telah dikenalpasti dan kategori dua bangunan berkenaan dapat menampung antara 800 hingga 1,000 pesakit sehari,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Pek Kasih Mama Shopee di Puncak Alam di sini, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan penduduk Puncak Alam menggesa kerajaan segera membina klinik kesihatan di kawasan itu yang masih tiada sejak 20 tahun lalu.
Penyediaan prasarana asas itu bagi menampung keperluan perubatan bagi para penduduk di 40 taman perumahan yang kini terpaksa menempuh perjalanan lebih 15 kilometer bagi mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Jeram atau Klinik Kesihatan Bukit Cherakah.-KOSMO!ONLINE