BAGAN SERAI – Kerajaan sedia memperbaiki kelemahan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bagi memastikan golongan berkelayakan mendapat subsidi bahan bakar tersebut tidak terkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apabila kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel, ia tidak sempurna sepenuh dan mempunyai beberapa kelemahan namun kerajaan sedia mengatasi masalah berkenaan.
Beliau berkata, antara yang terkesan dengan program penyasaran subsidi itu termasuklah rakyat golongan bawah seperti pesawah, pengusaha bas sekolah dan nelayan.
“Jika ada golongan tersebut yang belum mendapat bantuan subsidi diesel, mereka akan dibantu. Apabila kita melaksanakan penyasaran subsidi diesel, saya percaya ia tidak sempurna sepenuhnya, ada beberapa kelemahan namun kita cuba perbaiki.
“Bagaimanapun, kenaikan ini tidak melibatkan rakyat. Kalau ada rakyat guna diesel untuk kehidupan seperti nelayan, pekebun kecil, pemandu teksi serta bas dan sebagainya, itu akan dibantu oleh kerajaan.
“Subsidi ini untuk orang susah. Kalau memang mereka guna diesel untuk bas sekolah contohnya, kita akan bagi (subsidi) ada masa untuk mereka merayu,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, penyasaran subsidi diesel tidak sepatutnya menjadi kontroversi kerana semua perdana menteri sebelum ini setuju melaksanakannya kerana banyak berlaku ketirisan.
“Saya rasa aneh kalau ia digunakan sebagai isu politik kerana semua parti politik, setuju. Saya ucap terima kasih kerana Setiausaha Agung Pas kerana keluarkan kenyataan. Dia faham kerana dia pun pernah umumkan di Parlimen cadangan kerajaan pada ketika itu untuk naikkan harga disel,” katanya.
Menurutnya, berbanding kenaikan tarif air sebelum ini, ia tidak menimbulkan isu kerana semua negeri terlibat dalam kenaikan tarif tersebut. – KOSMO! ONLINE