KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM24.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 38 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu, Sabah, Khamis lalu.
“Siasatan setakat ini mendedahkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang berkaitan memandangkan ia hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Ramli, serbuan turut merampas tiga unit telefon bimbit beserta kad sim, lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, wang tunai RM4,400 dan sebuah komputer riba.
“Pasukan penyiasat juga sedang dalam usaha mengesan dan menangkap beberapa individu lain yang telah dikenal pasti,” katanya.
Tambah Ramli, pihaknya menerima empat laporan polis berkait kehilangan wang dari akaun simpanan tetap di Petaling Jaya, Selangor pada awal Jun lalu.
“Pengadu yang terdiri daripada pemilik akaun dan kakitangan bank memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, melibatkan beberapa akaun simpanan tetap di bank tersebut.
“Kesemua pemilik akaun yang terlibat menafikan pengetahuan mereka tentang perkara tersebut dan tidak pernah ke Kota Kinabalu bagi membuat pengeluaran sebagaimana didakwa,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat dibawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Siasatan kes ini dilaksanakan dengan sebaiknya selaras dengan peruntukan undang-undang bagi memastikan pelaku yang terlibat dihadapkan ke mahkamah,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.