TAIPING – Jenazah pendaki, Zulkifly Yusof, 37, selamat tiba di rumah neneknya di Kampung Temerlok, Trong di sini pada pukul 11.45 pagi hari ini.
Jenazah disambut oleh penduduk tempatan termasuk ahli keluarga terdekat dan majlis doa tahlil turut diadakan di rumah tersebut.
Jenazah Allahyarham Zulkifly akan dibawa ke Masjid Al Mahmudiah Temerlok dan dijangkakan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temerlok.
Terdahulu media melaporkan, jurutera Petronas itu meninggal dunia setelah terkandas pada ketinggian kira-kira 6,000 meter di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat pada pukul 6 pagi waktu tempatan pada 29 Mei lalu.
Jenazah telah dibawa pulang mengunakan pesawat kargo Korean Airlines (KE373) ke Lapangan Terbang Bayan Lepas pada pagi ini. – KOSMO! ONLINE