MEKAH – Mengekalkan keperibadian akhlak mulia termasuk menjaga pertuturan dan tingkah laku menerusi manasik haji mampu melahirkan masyarakat bertamadun.
Justeru, umat Islam dan jemaah haji terutamanya diingatkan agar memelihara segala bentuk didikan haji yang telah diperoleh dengan mengelakkan diri daripada melakukan kemaksiatan serta kemungkaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, selain itu umat Islam dinasihatkan agar kembali kepada fitrah manusia dengan menyemai sifat cintakan kebaikan dan ketaatan.
“Antara tujuan ibadah haji diwajibkan ke atas kita adalah untuk manusia Dzikrullah (kembali mengingati Allah SWT) dan kembali kepada fitrah akidah Islamiah yang sebenar.
“Curahkan segala nikmat kemanisan beribadah sepanjang kita melaksanakan ibadah haji ini sehingga masyarakat kita di Malaysia mendapat kesannya dan melahirkan sebuah masyarakat yang bertamadun atau Madani serta memahami agama Islam sebagai sebuah agama fitrah,” katanya ketika menyampaikan khutbah Hari Arafah di sini semalam.
Tambah Mohd. Na’im, Allah SWT ingin mendidik manusia menerusi ibadah haji dengan menetapkan peraturan dan larangan dalam melakukan perbuatan yang membinasakan serta merosakkan.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im menerusi khutbah tersebut turut menjadikan kisah Nabi Ibrahim sebagai contoh perjuangan hamba dalam mentaati perintah Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab walau terpaksa berkorban harta serta nyawa.
“Inilah hakikat fitrah dan pembersihan akidah yang sempurna. Sesungguhnya ibadah haji menuntut manusia untuk kembali kepada fitrahnya yakni beriman kepada Allah SWT dan menolak segala bentuk perkara mensyirikkan Allah SWT,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf yang merupakan kemuncak haji adalah pada hari ini, manakala Hari Raya Aidiladha disambut 16 Jun dan umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun.
Dalam perkembangan berbeza, Mohd. Na’im berkata, buat pertama kalinya pihak berkuasa Arab Saudi menampal pelekat khas di setiap pintu bas yang telah dinaiki jemaah haji.
Jelasnya, pelekat khas itu diletakkan dengan tujuan mengelakkan kehadiran jemaah haji tanpa menggunakan visa yang sah semasa dalam perjalanan dari hotel penginapan ke Arafah.
Katanya, ia dilekatkan di pintu bas selepas pihak berkuasa Arab Saudi mengimbas kad nusuk setiap jemaah haji yang menaiki bas berkenaan.