PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan enam negeri yang dijangka berterusan sehingga 6 petang nanti.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, cuaca buruk itu tertumpu di kebanyakan tempat di Pantai Timur, Kelantan melibatkan Kuala Krai dan Gua Musang.
“Hujan lebat itu turut melanda Besut dan Hulu Terengganu di Terengganu serta Tanah Tinggi Cameron di Pahang.
“Selain itu, ribut petir juga akan berlaku di Daerah Utara, Kedah melibatkan Kuala Muda dan Sik.
“Di Sabah, cuaca yang sama dijangka berlaku di kebanyakan tempat melibatkan Pedalaman (Sipitang dan Tenom) dan Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud).
“Turut terkesan di Sabah melibatkan Tawau (Kunak) dan Sandakan (Kinabatangan),” ujarnya.
Selain itu, beberapa tempat di Sarawak juga diramalkan hujan lebat dan ribut petir melibatkan Kapit, Bintulu (Tatau) dan Limbang (Lawas) pada petang ini.
Sementara itu, pada cuaca sebelah malam pula, MetMalaysia meramalkan hujan lebat dan ribut petir berlaku di Pahang dan Terengganu.
Dalam pada itu, cuaca buruk itu turut berlaku melibatkan Pedalaman, Sabah manakala cuaca lembab pula akan melanda beberapa tempat di Sarawak iaitu, Serian, Samarahan, Sri Aman, Kapit, Miri dan Limbang menjelang malam nanti. – KOSMO! ONLINE