fbpx

Laluan Pantai Timur dahului ‘kemeriahan’ orang balik beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara gambar yang dikongsikan dalam kumpulan Facebook Asal Gombak memaparkan kesesakan yang berlaku di sekitar Greenwood menuju ke Lebuh Raya KLK.

PETALING JAYA – Aliran trafik dilaporkan sesak dan tinggi di sekitar daerah Gombak, Selayang, Batu Caves menuju ke arah Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) setakat pukul 2 petang ini.

Ia susulan ekoran pertambahan kenderaan orang Pantai Timur pulang ke kampung sejak awal pagi tadi lagi sempena menyambut perayaan Hari Raya AidilAdha yang jatuh pada Isnin ini.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya (LLM), keadaan trafik dilaporkan bergerak sangat perlahan di Plaza Tol Gombak sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa.

Aliran trafik di lebuh raya yang sama juga kelihatan tinggi di Genting Sempah sehingga ke Bentong dan Lentang sehingga kelewatan dijangkakan lebih satu jam.

Kesesakan ini menyebabkan aliran trafik di Jalan Gombak, Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (DUKE), Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Batu Caves, Kepong, Taman Melawati dan Hulu Klang juga tinggi.

Menurut kumpulan Facebook Asal Gombak pula, ramai penduduk di sekitar daerah itu meluahkan keadaan mereka ‘tersekat’ di dalam kenderaan akibat aliran trafik yang luar biasa itu.

“Dari Sri Gombak nak balik rumah dekat Gombak Utara sangkut ‘jem’ teruk dekat dua jam. Biasa 10 minit je,” komen Nana.

“Dari Batu 6 sampai lampu isyarat Balai Polis Gombak Setia sesak. Aduhai, semoga yang balik ke Pantai Timur bersabar menempuh dugaan ini,” komen Laila Sari.

“Saya dari Sungai Buloh nak ke Gombak. Mula-mula jalan ‘clear’, sampai je Sri terus 20 minit tersekat, ‘jem melekat’ sampai simpang Universiti Islam Antarabangsa. Jadi lepas ni duduk diam-diam kat rumah, Isnin baru keluar ya warga Sri Gombak,” komen Zila Saad.

Dalam pada itu, aliran trafik di Lebuh Raya Plus Utara @ E1 setakat ini dilaporkan lancar walaupun berlakunya pertambahan kenderaan dari Rawang Selatan.

Trafik kelihatan perlahan namun masih lancar di Sungkai menuju ke Slim River, Tapah, Bidor dan Simpang Pulai.

Bagaimanapun, trafik mulai sesak di KM230.4 dari Changkat Jering ke Kuala ekoran lori rosak di bahu jalan.

Di Lebuh Raya Plus Selatan @ E2 mendapati, trafik dilaporkan sesak dari Nilai – Senawang, Ayer Keroh – Jasin and from Senai – Sedenak.

Kelewatan dijangka dari Southville City menuju Putra Mahkota ekoran kemalangan di KM289.4. Kemalangan motosikal di KM162.5 juga menyebabkan kelewatan 30 minit dari Bukit Gambir ke Tangkak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI