COLOGNE, JERMAN – Switzerland membuka kempen Euro 2024 dengan garang selepas membenam Hungary dengan kemenangan 3-1 di Stadium Cologne sebentar tadi.
Pada aksi Kumpulan A tersebut, Switzerland turun dengan aksi cukup agresif apabila hanya memerlukan 12 minit untuk meledak gol pertama menerusi jaringan cantik Kwadwo Duah.
Biarpun Hungary cuba mengatur rentak untuk mencari gol penyamaan namun beberapa serangan berbahaya mereka gagal menembusi benteng pertahanan Switzerland.
Ketika Hungary terdesak mencari gol penyamaan, Switzerland terus menambah gol kedua mereka apabila rembatan deras Michel Aebischer dari luar kotak penalti berjaya mengatasi penjaga gol, Peter Gulacsi pada penghujung babak pertama perlawanan.
Hungary tidak berputus asa apabila usaha kerja keras mereka mengasak pertahanan Switzerland untuk mencari gol penyamaan pada separuh masa kedua berhasil selepas Barnabas Varga menjaringkan gol pada minit 66.
Switzerland ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila mereka menjaringkan gol kemenangan selepas bijak mengatasi kesilapan pertahanan lawan di penghujung perlawanan.
Kemenangan tersebut memberi kelegaan kepada Switzerland kerana mereka turun dengan misi besar di Euro 2024 terutama untuk mengubati kekecewaan selepas terkandas di suku akhir empat tahun lalu. -KOSMO! ONLINE