BERLIN – Ketua Jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente menyeru agar barisan pemain tidak memandang rendah keupayaan pasukan Croatia menjelang aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Olimpik tengah malam ini.
Menurut De La Fuente, skuad lawan memiliki mentaliti juara yang sukar untuk ditewaskan dan telah terbukti apabila tampil konsisten pada setiap kejohanan besar yang diharungi sejak beberapa tahun lepas.
“Saya sangat kagum dengan mentaliti pemain-pemain Croatia kerana mereka berjuang demi menjaga maruah negara dan sentiasa berbangga untuk menyarung jersi kebangsaan. Negara mereka kecil tetapi pemain mereka berjiwa besar.
“Saya harap pemain dapat waspada dengan ancaman yang boleh diberikan pasukan lawan dan kalau boleh kita perlu buru gol awal kerana saya percaya siapa yang lakukan jaringan dahulu pasukan itu berpeluang untuk menang.
“Justeru, saya harap pasukan dapat memulakan kempen dengan langkah kanan kerana saya meletakkan harapan tinggi untuk kita mencabar kejuaraan pada kempen Euro kali ini sekali gus melangkah sejauh mungkin,” katanya.
Sementara itu, skuad La Roja ditimpa musibah pada saat akhir apabila tidak dapat menggunakan tonggak pertahanan utama yang mewakili kelab Al Nassr, Aymeric Laporte kerana mengalami kecederaan ketika sesi latihan.
Namun, kecederaan yang dialami Laporte tidak serius dan posisinya bakal diganti oleh pemain kurang berpengalaman, Robin Le Normand untuk digandingkan dengan kapten Real Madrid, Nacho di posisi pertahanan tengah. – AGENSI