DORTMUND – Itali akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan pada Euro 2024 apabila turun menentang Albania pada aksi sulung Kumpulan B yang dijadualkan berlangsung di Signal Iduna Park awal pagi esok.
Justeru, ketua jurulatih The Azzurri, Luciano Spalletti mengharapkan anak-anak buahnya menampilkan aksi terbaik dan berkualiti pada perlawanan itu, sesuai dengan status mereka sebagai juara bertahan.
Beliau percaya, pemain-pemain Itali sudah bersedia sepenuhnya bagi mengutip tiga mata pertama mereka pada kejohanan itu, sekali gus meletakkan kedudukan dalam keadaan selesa untuk mara ke pusingan kalah mati.
“Kejohanan ini sangat penting dan atas sebab itulah kami perlu bersedia sepenuhnya. Kami perlu bermain seolah-olah sedang berada di medan perang dan menumpahkan darah demi pasukan.
“Pada pendapat saya, turun sebagai juara bertahan boleh dianggap sebagai satu kelebihan. Oleh itu, semua pemain perlu bermain seperti pasukan juara buktikan mengapa kami layak memegang status tersebut,” katanya.
Bekas pengendali Napoli itu juga membuktikan kepada pengkritik-pengkritik di luar sana bahawa Itali masih layak dilabelkan sebagai pasukan pilihan meskipun tidak layak ke Piala Dunia dua kali berturut-turut sebelum ini.
“Kami bukan sahaja berdepan pasukan-pasukan luar, malah diri sendiri juga. Semua pemain perlu pamerkan kemampuan masing-masing bagi menutup mulut semua pengkritik,” ujar Spalletti. – AGENSI