PETALING JAYA – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KiplePay mengumumkan pelancaran sistem pembayaran dalam talian untuk perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP).
Penambahbaikan tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk memperbaiki dan meningkatkan kemudahan sistem kesihatan bagi rakyat Malaysia, terutamanya bagi mereka yang mempunyai keupayaan terhad untuk mengunjungi fasiliti kesihatan.
Ciri pembayaran dalam talian itu diintegrasikan melalui gerbang pembayaran Pos Malaysia ke dalam aplikasi MyUBAT KKM, membolehkan pesakit membuat pembayaran yang selamat dan mudah dari mana-mana sahaja.
Sistem ini menyokong pelbagai kaedah pembayaran, termasuk kad kredit dan debit serta perbankan dalam talian, memastikan proses transaksi yang lancar bagi semua pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, inisiatif ini merupakan bukti komitmen mereka terhadap inovasi dan kebolehcapaian dalam penjagaan kesihatan.
“Kami sedang menyusun semula operasi dan memastikan akses yang mudah bagi kemudahan semua dengan mengintegrasikan teknologi pembayaran canggih ke dalam perkhidmatan UMP.
“Ini adalah bukti dedikasi kami dalam memenuhi pelbagai keperluan rakyat tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkhidmatan UMP ini telah beroperasi sejak 2011 bagi memastikan pesakit menerima ubat yang ditetapkan secara langsung di rumah mereka dan memudahkan pematuhan ubat-ubatan yang ditetapkan.
Bagi tempoh Julai hingga Disember 2023, UMP dan Pos Malaysia telah menghantar lebih daripada 348,501 bungkusan preskripsi. – KOSMO! ONLINE