HULU TERENGGANU – Seorang kanak-kanak perempuan memendam keterujaan untuk memasuki prasekolah dan bermain rakan sebaya apabila disahkan menghidap kanser limfoma tahap dua pada lebih dua bulan lalu.
Menurut ibunya, Nur Asna Nisa Md. Akil,38, berkata, penyakit kritikal itu diketahui selepas anak perempuannya, Nur Athifa Baha, 6, terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian leher di Hospital Taiping, Perak.
“Pada mulanya, leher anak sulung saya (Nur Athifa) dikesan mula membengkak pada akhir tahun lalu sebelum semakin serius sehingga membentuk benjolan sewaktu kami pulang ke kampung di Taiping pada cuti persekolahan Mac lepas.
“Dia terus menjalani pembedahan membuang pertumbuhan terbabit yang kemudian disahkan sebagai kanser limfoma kira-kira tiga minggu kemudian iaitu pada awal April lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Setebu di sini baru-baru ini.
Nur Asna Nisa berkata, Nur Athifa tidak dapat memasuki prasekolah kerana masih belum sihat dan perlu menjalani rawatan enam kali sesi kimoterapi.
“Setakat ini, dia telah menjalani dua kali rawatan kimoterapi dengan janji temu seterusnya pada 22 Jun ini.
“Rambutnya bukan sahaja gugur malah mengalami cirit-birit dalam tempoh kira-kira seminggu setiap kali menjalani kimoterapi sebelum ini,” katanya.
Nur Asna Nisa berkata, doktor yang merawat Nur Athifa juga menasihatkan anaknya itu kurang didedahkan dengan cahaya matahari dan masyarakat kerana antibodinya masih lemah.
Tambahnya, biarpun begitu, anak sulungnya sering menyatakan hasrat untuk memasuki prasekolah seperti rakan sebaya lain yang membuatkan hatinya sayu.
“Oleh kerana rumah kami tidak dilengkapi kemudahan air bersih ekoran tidak mampu membayar kos penyambungan paip ke rumah yang agak jauh di pedalaman, suami saya terpaksa membeli air dari mesin penapis setiap hari untuk keperluan Nur Athifa.
“Saya akui ia agak membebankan selain kos perubatan anak kami ini memandangkan suami saya, Baha Cik Bali, 38, cuma pengawal keselamatan di Tasik Kenyir,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan ke akaun bank Nur Asna Nisa bernombor 1199541100329484 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubunginya di talian 013- 853 9968.