KUALA LUMPUR – Finalis Piala FA musim lalu, Kuala Lumpur City (KL City) terpaksa menggigit jari apabila tewas kepada Kuching City 2-3 pada aksi pusingan pertama Piala FA 2024 sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium KL, Cheras itu, skuad The City Boys kendalian Miroslav Kuljanac dilihat tidak menunggu lama untuk mendahului hasil jaringan penyerang muda Harimau Malaya, Haqimi Azim Rosli seawal minit ke-14.
Namun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat The Cats apabila kekal tenang untuk mengasak kubu tuan rumah dan berjaya meraih gol penyamaan hasil jaringan jarak jauh Filemon Anyie pada minit ke-26.
Tersentak dengan gol tersebut, KL City menggandakan asakan dan akhirnya berjaya meledak jaringan kedua hasil percubaan kapten, Paulo Josue 10 minit sebelum babak pertama berakhir.
Bersambung pada separuh masa kedua, pasukan pelawat kendalian Aidil Sharin Sahak memperkemaskan serangan dalam usaha memburu gol penyamaan.
Pemain sayap skuad kebangsaan, Nur Shamie Iszuan berjaya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-68 dengan keputusan 2-2 kekal sekali gus mengheret saingan ke masa penentuan.
Sepanjang masa tambahan berlangsung, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan KL City berharap dihadiahkan sepakan penalti selepas S. Sharvin dijatuhkan tetapi ditolak Video Bantuan Pengadil (VAR).
Kesempatan tersebut digunakan oleh Kuching City untuk meraih gol kemenangan hasil jaringan Zahrul Nizwan Zulkeflee pada penghujung perlawanan selepas menyudahkan hantaran Nur Shamie.
Kemenangan tersebut menyaksikan Kuching City lolos ke peringkat suku akhir kempen Piala FA musim ini. – KOSMO! ONLINE